"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal-amal soleh, dan orang-orang yang saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Tuesday 13 November 2012

Bilakah lagi kita semua satu hati?

Satu hati, jom?


Menaip itu tiada masalah. Cumanya, menaip tanpa idea itu menjadi persoalannya. Tambahan pula, menulis untuk kemanfaatan ummah itu bukannya mudah. Almaklum,  belog ini juga masih bergelar anak yang baru hendak bermanja-manja dengan dunia ke’belog’an.




Idea? Saya tidak punya idea untuk menulis pada pagi yang gemersik ini. Tapi saya punya satu perkongsian untuk sama-sama kita renungi..



Saya dan sahabat-sahabat pernah mengikuti program di bawah kerjasama (HALUAN), kebetulan lagu tema program pada waktu itu ialah lagu yang bertajuk ‘SATU HATILAH’. Kami dikehendaki untuk menghafal lagu tersebut. (Skema di situ) Apa yang menarik dengan lagu ini? Ya, ada yang istimewa sehingga mampu menarik saya dan sahabat saya seperti tarikan magnet yang kuat untuk lebih menghayati penyampaian makna lagu ini sebenarnya.



Lenggok lagunya berbunyi seperti ini,



Bilakah lagi kita semua satu hati,
Bilakah lagi keamanankan dikecapi,
Bilakah lagi Islamkan dijulang tinggi,
Bangunlah wahai ummah kita satu hati,
Marilah bersama bersatu berjihad menentang kezaliman,
Oh insan sedarlah pembalasan Tuhan pasti akan datang,
Jangan takut jangan takut berjuanglah untuk keamanan.



Pendek. Ringkas. Tapi makna dan rentaknya sungguh kuat mendetak darah pemudiku dan sahabatku yang lain. Apa mesej yang ingin disampaikan lagu ini? Kenapa begitu kuat menyentak lagu dan seni katanya sehingga mampu menggegarkan jiwa?




Renungi…


Dianggarkan bilangan umat Islam seluruh dunia adalah ramai. Ya, bilangan umat Islam pada hari ini begitu ramai sekali. Namun, pernahkah kita terfikir, adakah yang ‘ramai-ramai’ ini mampu bersatu hati? Kuantiti itu penting, malah kualiti itu lebih penting.



Bilakah lagi kita semua satu hati? Dunia pada hari ini, hati kita masih lagi tidak bersatu. Malah, jiwa dan pemikiran kita juga masih belum mampu untuk bersatu. Dunia hari ini, umat Islam menjalani kehidupan yang jauh daripada maqosid syariah. Islam pada nama, bukan pada hati. Si A tidak bersetuju dengan pandangan Si B, lalu dia mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan pendapat Si A dan mencerca lalu mencaci. Perbezaan pendapat menyebabkan ramai yang tidak bersatu hati, perbezaan pendapat kuncinya ‘berlapang dada’. Justeru, jika konsep berlapang dada sendiri tidak diamalkan, usahlah ditanya bila lagi  kita bersatu.




Bilakah lagi keamanankan dikecapi? Dunia pada hari ini, golongan intelektual masing-masing megah dengan IQ mereka yang tinggi. Golongan bijak pandai Islam sering saja berkelahi. Ustaz B menjengkelkan Ustaz C, Ustaz Q menuduh Ustaz P dan akhirnya begitulah seterusnya. Si T mencaci golongan ulama. Sedang di Malaysia ini, dikatakan sudah merdeka. Namun, merdekakah kita jika kekecohan yang sering menjadi bala akibat hanya kerana fahaman politik dalaman yang berbeza dan akhirnya bakal menyebabkan perpecahan ummah? Amankah kita dengan penindasan golongan atasan terhadap golongan bawahan? Kontroversi. Manipulasi. Mendominasi. Provokasi?  Sesama sendiri? Bagaimana keamanan hendak dikecapi? Saya fikir, umat Islam tidur atau mengalah waktu ini?




Bilakah lagi Islamkan dijulang tinggi? Dunia pada hari ini, kes-kes pembuangan bayi sering melibatkan golongan remaja Islam. Pembunuhan, pengedaran bahan-bahan yang terlarang dan lain-lain hal yang bersangkut paut dengan keburukan dan keruntuhan akhlak. Lihat saja tiap kali yang terpapar di media massa adalah golongan remaja yang beragama Islam. Ini secara tidak langsung memburukkan imej Islam! Persepsi negatif masyarakat lain terhadap cerminan Islam. Bagaimana jika perkara yang genting ini berlaku terus-terusan? Bagaimana boleh Islam bakal dijulang dan diangkat tinggi?!! Mungkin, itu hanya mimpi dan angan-angan kita saja di siang hari?





Bangunlah wahai ummah, kita satu hati! Wahai, marilah kita bersatu hati. Tinggalkan semua yang boleh menyebabkan perpecahan ummah. Kita, sangat berharga buat Islam. Tinggalkan perkelahian. Tinggalkan provokasi semata untuk mendapatkan publisiti! Kita tidak punya masa untuk bertembak sesama sendiri, malah acuhkanlah senjata pada musuh-musuh di luar sana yang sedang menanti masa untuk menyerang kita ini. Kenapa mesti kita punya hasad dengki dan berkelahi sesama sendiri sedang musuh di luar sedang tersenyum melirih? Wahai, bangunlah!




Marilah bersama bersatu berjihad menentang kezaliman
“Kezaliman apekah yang ada di Malaysia ini? Peperangan pon mana ada. Saya lihat aman saja pon, jangan buat cerita Humaira!”



Itu kata anda. Kita sering memandang pada satu sisi, sehingga terlupa untuk melihat sisi-sisi yang lain. Secara zahirnya, Malaysia Tanah Tumpah Darahku ini kelihatan aman. Namun, mata batin itu telus dan tulus, malah tidak mampu menipu dan berhelah. (Hmm. Maaf, saya tidak berniat untuk berfalsafah). Lazimnya, kita tidak diserang dengan serangan melalui senjata berupa meriam, machine-gun, senapang riffle dan segala macam. Tapi, ternyata kita diserang dengan GHOZWATUL FIKR (serangan pemikiran) daripada -musuhIslam. Maka, hati-hatilah! Serangan inilah yang menyebabkan kita sendiri menzalimi diri, menzalimi hubungan sesama manusia dan hubungan kepada Allah! Dan, bagaimana pula saudara-saudara seAkidah kita di luar sana seperti di Rohingya, Palestin dan Syria? Sudah bebaskah mereka daripada cengkaman golongan laknatullah? Berakhirkah sudah kezaliman yang mengurung saudara-saudara kita di sana? Tidakkah sudah kedengaran mereka kelaparan? Tidakkah sudah kedengaran mereka meraung kesakitan? Tidak adakah sudah bunyi bom dan meriam? Tidak adakah sudah yang kecederaan lalu mengalami kematian???...



“Eh. Bukankah Islam sudah dijanjikan akan menang? Pembalasan Tuhan pasti akan datang.”



Aiwah. Di mana pon Islam bertapak, di mana pon Islam berada, Islam pasti akan menang! Itu janji Allah. Namun, terfikirkah? Terfikirkah? Terfikirkah anda, mampukah Islam memperoleh kemenangan jika ummahnya hanya bergoyang kaki, menggulung batang rokok di kaki lima, minum teh lipton kurang manis di warung Kak Limah Janda, bermain catur hitam putih? Mampukah kemenangan datang bertandang bergolek begitu sahaja jika tiada rasa hendak bersatu hati menegakkan kalimah syahadatain? Saya kira, anda bermimpi jika mengimpikan kemenangan tanpa usaha. Kibarkanlah panji ini, jadikanlah jihad itu sebagai jalan kita! Bangunlah kita sebagai mujahid dan mujahidah membela agama Allah! Bukankah jihad itu sabiluna??




JOM, bebaskan belenggu! Bersatu hatilah. Bersatu hatilah untuk keamanan, demi Islam, bangunlah ummah kita satu hati! Tumpaskan mereka yang melakukan penindasan. Tumpaskan mereka yang mencengkam! Kita tidak punya masa, kita punya tanggungjawab yang besar! Jangan takut, berjuanglah untuk kemanan! 



Ayoh, hok pakak SATU HATI untuk Islam!



Anda mampu mengubahnya!

Sunday 11 November 2012

Sahabat, tika kau jauh di mata..





Sahabat tika kau jauh..

Sahabat, tika dirimu tak berdaya dan lesu,

Di saat itu pula aku tiada di sampingmu, 

Yakinlah bahawa Allah sentiasa ada untukmu.

Di kala kau ingin berkongsi dan meluah,

Malah, di waktu itu juga aku tiada dekat denganmu,

Meluahlah kepada Allah,

Dia sedia mendengar.

Dialah pengantara antara kita.

Walau ku tahu kau perlukan aku tatkala itu.

Kerna meluah kepadaku tidak bererti tidak kau perlu Dia.

Memerlukanku bukan bermaksud tak perlukan Dia.

Tapi, memang fitrahnya manusia butuh teman di kala 

Waktu sukar mahu pun senang.






Dinukilkan istimewa buat sahabat yang jauh di mata tapi sentiasa dekat di hati, Elvessyah Pertiwi bt Mohd Putra. Smg dirimu baik-baik di sana. Allah sayaaaang kamu =')

Friday 9 November 2012

Nak berhijrah, kenapa perlu tunda?






“Aku memang nak berhijrah tapi aku rasa macam belum bersedia lagilah. Tapi aku betul-betul nak sangat.”

“Berubah tu memang nak, tapi entahlah hati belum terbuka kot?”

“Siapa yang tak hendak? Cuma.. Mungkin belum dapat seru lagi ni. Hmm..”

Alasan yang berbeza. Namun, masih membawa maksud yang sama. Selalu. Lali. Bosan? Tidak juga. Cuma memang seringkali telinga kita ditadah sarat dengan alasan-alasan sebegini rupa. Daripada sahabat-sahabat handai sehinggalah kepada adik-adik yang ada dalam bulatan.

Apa pun alasan itu, berapa kali pun telinga lali menadah suara-suara alasan ini. Kebaikannya adalah membuatkan diri kita menjadi lebih peka dengan keadaan ummah di sekeliling.

Kenapa? Kerana ini menyebabkan kita tersangat ingin tahu virus apekah yang telah menyerang sehingga tiap kali bila bercerita berkisarkan hijrah, alasan yang sama sering diutarakan. Virus jenis apekah ini? Begitu kuat influencenya terhadap masyarakat kita.



Hijrah?

Hijrah? Kalimah yang tak asing lagi. Kalimah yang sering membuatkan segelintir masyarakat terkelat-kelat.

Pengertian asalnya berubah/berpindah kepada yang lebih baik. Daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik.

Mungkin kalimah hijrah lebih mendalam dan sangat berkesan berbanding berubah. Kerana berubah boleh jadi kepada yang buruk mahu pun yang baik.

Bagaimana penghijrahan itu berlaku, tiga elemen yang menjadi tulang belakangnya yakni hidayah, mujahadah dan istiqomah.

Tanpa tiga elemen ini menjadi dan berjalan lancarkah penhijrahan kita?


Alasan vs Solusi

Terkena virus? Maka perlu mencari ubatnya. Perlu mencari solusi untuk mengubati virus yang tersebar dalam masyarakat kita.

Alasan yang pertama membuatkan kita terfikir seketika, ingin berubah tapi diri belum bersedia? Kenapa belum bersedia? Bukankah penghijrahan memerlukan persediaan dari segi aqli, jasadiy dan ruhiyy?

Hati belum terbuka? Tak sampai seru? Hidayah tak datang? Owh, apekah?

Hati kita belum terbuka atau kita yang sengaja menutup rapat? Tak sampai seru atau kita yang mengeluh? Hidayah tak datang atau kita yang menghalau?

Sebenarnya, hati kita yang menutup pintunya. Sehinggakan hidayah datang bertandang, mengetuk pintu hati kita, namun kita langsung tidak menyedari ditambah lagi tidak mengendahkan?


“Aku dah cuba bentuk dia, dah kira dua tahun tu. Tapi hidayah masih tak datang, takde rasa nak berubah dia tu!”


Ehem. Halusi caramu. Membentuk dan menyeru tugas kita, tapi yang memberi hidayah adalah tugas Allah. Hidayah, bukankah milik Allah?

Anda, hidayah bukan hanya datang bergolek di hadapan mata sahaja. Bukan datang begitu sahaja bila hanya dipanggil. Tapi berdoalah, kemudian sertailah dengan usaha untuk mendapatkannya!


Mungkin pernah anda terasa ingin mula hendak mendirikan solat cukup lima waktu sehari, menjadi anak yang lebih baik kepada kedua ibu bapa. Pokoknya, inginkan kebaikan. Bersyukurlah. Bersyukurlah, kerana itu sebenarnya hidayah yang datang menerpa mengetuk pintu hatimu. Jangan tutup, bukalah pintu hati itu seluas-luasnya buat tetamu dari Allah itu. Ini, menjadi titik pertama penghijrahan itu. Bukalah dan berlapang dadalah!


Muhajarah, Mujahadah dan Istiqomah?

Apa itu muhajarah? Muhajarah adalah orang yang berhijrah. Jika anda mengalami penghijrahan, maka andalah muhajarah.

Apa itu Mujahadah? Mujahadah adalah orang yang berjihad. Berjihad melawan hawa nafsu. Jika dahulunya anda seorang yang tidak menutup aurat, kamudian dalam penghijrahan anda itu, teruslah mujahadah agar sentiasa menutup aurat dengan sempurna. Mujahadahlah untuk terus istiqomah!


Berhijrah? Semudah itukah?


Terlihat statement ini mengatakan,

Berubah itu mudah, istiqomah itu yang susah.”

Maaf, sekiranya saya tidak bersetuju statement di atas. Sedang para ulama’ dan fuqaha’ mengalami perbezaan pendapat inikan pula kita yang marhaen ini. Yang penting, sentiasalah berlapang dada.

Namun, perbezaan pendapat tanpa hujah layakkah? Berlapang dada berlaku apabila perbezaan pendapat disusuli dengan hujah. Jadi, bukan sengaja statement ini saya tolak kebenarannya.

Prinsipku, berubah itu tak mudah, istiqomah itu pula susah. Yelah, nak berubah tanpa taujihat dan mujahadah, mudahkah? Mudahkah penghijrahan kita tanpa kehadiran orang yang dapat membimbing kita? Mudahkah sekiranya tanpa mujahadah yang kuat dan gah?

Malah, kita perlukan tarbiah dan taujih untuk terus melangkah dan bergelar sebagai muhajarah. Dan seterusnya bermujahadah untuk terus istiqomah. Turut memerlukan pengorbanan.

Cuba kita lihat sejarah penghijrahan Murabbi ummah Rasulullah saw bersama golongan muhajirin. Terfikirkah kita, mampukah golongan muhajirin meninggalkan keluarga tercinta dan harta benda untuk berhijrah jika tidak kerana mujahadah yang tinggi dan pengorbanan demi Islam tercinta? Fikir-fikirkanlah…

Maaf, jika hujah tersebut berbentuk soalan buat diri anda sendiri dan terlalu spesifik. Saya yakin, anda sendiri mampu menjawabnya. (Hmm.. Ini bukan iklan jalan raya.)


Ukhti Anymous : Betul tu Humaira. Saya setuju dengan pandangan dan hujah anda. Lebih-lebih lagi bila ianya bertambah sukar apabila ramai yang menjengkelkan penghijrahan yang kita lakukan. Orang selalu cakap belakang, ingat kita makan luar. Kononnya, kita berhijrah sebab semata-mata nak dapatkan lelaki soleh. Sebab nak tunjuk bajet baguslah. Sebab tu bila saya nak lakukan penghijrahan, saya berfikir sehabis boleh.

Saya : Anda, mengapa bahasa anda mulanya terlalu skema di situ? Ehem. Antara sebab utama kenapa ramai yang menunda  penghijrahan adalah, disebabkan kita sering mencari pandangan manusia melebihi kuota yang sebenar. Orang tu cakap itu dan ini, kita mula rasa give up. Akhirnya, penghijrahan kita sering mengalami pertundaan. Tapi terfikirkah, apa pula pandangan si Dia terhadap kita? Seperti kata-kata Hilal Asyraf, kita akan lelah bila kita sering mencari pandnagan manusia, kerana manusia takkan puas. Demikianlah juga hidup kita, kita di dunia untuk mencari redha Allah, bukan redha manusia.


Kata putus!

Anda, jangan banyak alasan. Itu bahana pada diri kita sebenarnya. Berhijrahlah mulai sekarang. Pada waktu ini, pada minit ini, pada saat ini, dan pada ketika ini. Alasan bukan ubatnya, malah menjadi racun hidup kita.

Mulakan penghijrahan anda kerana Allah. Muhasabah diri dan Islahlah fikrah kita. Berhijrahlah kerana Allah, dan mulakan setiap harimu dengan SENYUMAN!

Alhamdulillah, hidayah milik Allah!

Thursday 8 November 2012

MUHASABAH : Dijentik Halus



Katakan, Ya, aku sayang Allah!


Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw dalam keadaan berlumuran darah. Melihat keadaannya demikian, Rasulullah bertanyakan puncanya. Rupanya disebabkan terlalu asyik memandang seorang wanita lalu di hadapan, dia terlanggar tembok di hadapannya. Akibatnya, itulah dia, pulang dalam keadaan  berlumuran darah.


Rasulullah saw kemudian bersabda maksudnya, “Jika Allah menghendaki kebaikan pada hambanya, maka Dia menyegerakan hukuman baginya di dunia.”


Rupa-rupanya jika Allah sayangkan seseorang hamba itu, disegerakan baginya hukuman di dunia lagi. Bersyukurlah andai sekali-sekala azab Allah segerakan. Bukan semata-mata menghukum sebaliknya sekadar menyucikan dosanya a hukuman berupa peringatan itu menjentik secara halus.


Bersyukurlah juga andai dalam mengingatkan insan-insan lain melalui apa-apa jua medium dakwah, kita juga diingatkan oleh Allah. Itu tanda Allah sayangkan kita, sayang nak biarkan kita alpa dan lupa terhadap peringatan-Nya.


Pejam mata seketika, rasailah kasih sayang Allkah yang tidak bertepi. Senyumlah. Kemudian kerahlah hati, lisan dan seluruh anggota badan agar membalas kasih sayang-Nya dengan ketaatan.



Cuba muhasabah diri kita semula. Tiap kali Allah jentik kita, kita mula bersangka buruk pada-Nya. Walhal, Allah menegur kemungkaran yang jelas yang telah kita lakukan. Kenapa begitu payah? Kenapa seringkali berburuk sangka? Namun, jarang sekali menuding jari pada diri yang melakukan dosa?


Allah tahu apa yang terbaik buat kita. Ya, Allah tahu! Sebab Allah sayang pada kita. Baiknya Allah! Dek hanya kerana kepentingan diri, kita lupa.


Jom, berbaik sangka! Allah sayang kita...