"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan yang mengerjakan amal-amal soleh, dan orang-orang yang saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Tuesday, 13 November 2012

Bilakah lagi kita semua satu hati?

Satu hati, jom?


Menaip itu tiada masalah. Cumanya, menaip tanpa idea itu menjadi persoalannya. Tambahan pula, menulis untuk kemanfaatan ummah itu bukannya mudah. Almaklum,  belog ini juga masih bergelar anak yang baru hendak bermanja-manja dengan dunia ke’belog’an.




Idea? Saya tidak punya idea untuk menulis pada pagi yang gemersik ini. Tapi saya punya satu perkongsian untuk sama-sama kita renungi..



Saya dan sahabat-sahabat pernah mengikuti program di bawah kerjasama (HALUAN), kebetulan lagu tema program pada waktu itu ialah lagu yang bertajuk ‘SATU HATILAH’. Kami dikehendaki untuk menghafal lagu tersebut. (Skema di situ) Apa yang menarik dengan lagu ini? Ya, ada yang istimewa sehingga mampu menarik saya dan sahabat saya seperti tarikan magnet yang kuat untuk lebih menghayati penyampaian makna lagu ini sebenarnya.



Lenggok lagunya berbunyi seperti ini,



Bilakah lagi kita semua satu hati,
Bilakah lagi keamanankan dikecapi,
Bilakah lagi Islamkan dijulang tinggi,
Bangunlah wahai ummah kita satu hati,
Marilah bersama bersatu berjihad menentang kezaliman,
Oh insan sedarlah pembalasan Tuhan pasti akan datang,
Jangan takut jangan takut berjuanglah untuk keamanan.



Pendek. Ringkas. Tapi makna dan rentaknya sungguh kuat mendetak darah pemudiku dan sahabatku yang lain. Apa mesej yang ingin disampaikan lagu ini? Kenapa begitu kuat menyentak lagu dan seni katanya sehingga mampu menggegarkan jiwa?




Renungi…


Dianggarkan bilangan umat Islam seluruh dunia adalah ramai. Ya, bilangan umat Islam pada hari ini begitu ramai sekali. Namun, pernahkah kita terfikir, adakah yang ‘ramai-ramai’ ini mampu bersatu hati? Kuantiti itu penting, malah kualiti itu lebih penting.



Bilakah lagi kita semua satu hati? Dunia pada hari ini, hati kita masih lagi tidak bersatu. Malah, jiwa dan pemikiran kita juga masih belum mampu untuk bersatu. Dunia hari ini, umat Islam menjalani kehidupan yang jauh daripada maqosid syariah. Islam pada nama, bukan pada hati. Si A tidak bersetuju dengan pandangan Si B, lalu dia mengambil keputusan untuk tidak mengendahkan pendapat Si A dan mencerca lalu mencaci. Perbezaan pendapat menyebabkan ramai yang tidak bersatu hati, perbezaan pendapat kuncinya ‘berlapang dada’. Justeru, jika konsep berlapang dada sendiri tidak diamalkan, usahlah ditanya bila lagi  kita bersatu.




Bilakah lagi keamanankan dikecapi? Dunia pada hari ini, golongan intelektual masing-masing megah dengan IQ mereka yang tinggi. Golongan bijak pandai Islam sering saja berkelahi. Ustaz B menjengkelkan Ustaz C, Ustaz Q menuduh Ustaz P dan akhirnya begitulah seterusnya. Si T mencaci golongan ulama. Sedang di Malaysia ini, dikatakan sudah merdeka. Namun, merdekakah kita jika kekecohan yang sering menjadi bala akibat hanya kerana fahaman politik dalaman yang berbeza dan akhirnya bakal menyebabkan perpecahan ummah? Amankah kita dengan penindasan golongan atasan terhadap golongan bawahan? Kontroversi. Manipulasi. Mendominasi. Provokasi?  Sesama sendiri? Bagaimana keamanan hendak dikecapi? Saya fikir, umat Islam tidur atau mengalah waktu ini?




Bilakah lagi Islamkan dijulang tinggi? Dunia pada hari ini, kes-kes pembuangan bayi sering melibatkan golongan remaja Islam. Pembunuhan, pengedaran bahan-bahan yang terlarang dan lain-lain hal yang bersangkut paut dengan keburukan dan keruntuhan akhlak. Lihat saja tiap kali yang terpapar di media massa adalah golongan remaja yang beragama Islam. Ini secara tidak langsung memburukkan imej Islam! Persepsi negatif masyarakat lain terhadap cerminan Islam. Bagaimana jika perkara yang genting ini berlaku terus-terusan? Bagaimana boleh Islam bakal dijulang dan diangkat tinggi?!! Mungkin, itu hanya mimpi dan angan-angan kita saja di siang hari?





Bangunlah wahai ummah, kita satu hati! Wahai, marilah kita bersatu hati. Tinggalkan semua yang boleh menyebabkan perpecahan ummah. Kita, sangat berharga buat Islam. Tinggalkan perkelahian. Tinggalkan provokasi semata untuk mendapatkan publisiti! Kita tidak punya masa untuk bertembak sesama sendiri, malah acuhkanlah senjata pada musuh-musuh di luar sana yang sedang menanti masa untuk menyerang kita ini. Kenapa mesti kita punya hasad dengki dan berkelahi sesama sendiri sedang musuh di luar sedang tersenyum melirih? Wahai, bangunlah!




Marilah bersama bersatu berjihad menentang kezaliman
“Kezaliman apekah yang ada di Malaysia ini? Peperangan pon mana ada. Saya lihat aman saja pon, jangan buat cerita Humaira!”



Itu kata anda. Kita sering memandang pada satu sisi, sehingga terlupa untuk melihat sisi-sisi yang lain. Secara zahirnya, Malaysia Tanah Tumpah Darahku ini kelihatan aman. Namun, mata batin itu telus dan tulus, malah tidak mampu menipu dan berhelah. (Hmm. Maaf, saya tidak berniat untuk berfalsafah). Lazimnya, kita tidak diserang dengan serangan melalui senjata berupa meriam, machine-gun, senapang riffle dan segala macam. Tapi, ternyata kita diserang dengan GHOZWATUL FIKR (serangan pemikiran) daripada -musuhIslam. Maka, hati-hatilah! Serangan inilah yang menyebabkan kita sendiri menzalimi diri, menzalimi hubungan sesama manusia dan hubungan kepada Allah! Dan, bagaimana pula saudara-saudara seAkidah kita di luar sana seperti di Rohingya, Palestin dan Syria? Sudah bebaskah mereka daripada cengkaman golongan laknatullah? Berakhirkah sudah kezaliman yang mengurung saudara-saudara kita di sana? Tidakkah sudah kedengaran mereka kelaparan? Tidakkah sudah kedengaran mereka meraung kesakitan? Tidak adakah sudah bunyi bom dan meriam? Tidak adakah sudah yang kecederaan lalu mengalami kematian???...



“Eh. Bukankah Islam sudah dijanjikan akan menang? Pembalasan Tuhan pasti akan datang.”



Aiwah. Di mana pon Islam bertapak, di mana pon Islam berada, Islam pasti akan menang! Itu janji Allah. Namun, terfikirkah? Terfikirkah? Terfikirkah anda, mampukah Islam memperoleh kemenangan jika ummahnya hanya bergoyang kaki, menggulung batang rokok di kaki lima, minum teh lipton kurang manis di warung Kak Limah Janda, bermain catur hitam putih? Mampukah kemenangan datang bertandang bergolek begitu sahaja jika tiada rasa hendak bersatu hati menegakkan kalimah syahadatain? Saya kira, anda bermimpi jika mengimpikan kemenangan tanpa usaha. Kibarkanlah panji ini, jadikanlah jihad itu sebagai jalan kita! Bangunlah kita sebagai mujahid dan mujahidah membela agama Allah! Bukankah jihad itu sabiluna??




JOM, bebaskan belenggu! Bersatu hatilah. Bersatu hatilah untuk keamanan, demi Islam, bangunlah ummah kita satu hati! Tumpaskan mereka yang melakukan penindasan. Tumpaskan mereka yang mencengkam! Kita tidak punya masa, kita punya tanggungjawab yang besar! Jangan takut, berjuanglah untuk kemanan! 



Ayoh, hok pakak SATU HATI untuk Islam!



Anda mampu mengubahnya!

No comments:

Post a Comment